don't worry about failure, worry about the chances. u will miss when you don't even try...no one can predict to what heights you can soar, even you will not know until you spread your wings...

Thursday, December 27, 2007

Mungkin inikah masanya...

Saya berasa cukup penat pada hujung tahun ini. Amat penat. Rasa seperti hayat saya akan berakhir pada bila-bila masa saja...bukan saya pinta untuk mati muda (cheewahhh...muda lagi kah saya ini, usia hampir mencium ke angka yang sudah boleh dianggap tua? Tidak tahu pula apa tanggapan orang lain tapi walaupun usia saya sudah banyak, saya sentiasa berasa muda kerana saya suka minum air kelapa muda, berkawan dengan orang yang lebih muda dan saya tiada uban! Seingat saya, saya cuma terjumpa seurat saja di kepala sejak usia saya hidup. Eh tapi uban bukanlah pengukur darjah usia seseorangkan...sowwy.
Kenapa saya kata sangat letih seperti hendak mati? Saya tidak tahu lagi sampai bila saya harus menanggung semua ini. Memang saya tahu hidup ibarat roda. Hari ini kita di bawah dan esok kita pasti di atas. Masih meminjam kata-kata lama, saya ibarat timun, digolek luka, menggolek pun luka. Sepanjang sepuluh tahun membabitkan diri dengan kerjaya sekarang, saya mula melihat ke dalam diri, menilai dan mencermin diri adakah ini yang saya cari selama ini. Hati robek dan jiwa luka, rasa pun menyepi seolah-olah tiada lagi deria saya yang aktif, saya rasa otak saya makin membeku...sampai begitu sekali. Saya tidak tahu bagaimana ini boleh terjadi tetapi saya tetap redha dengan apa yang perlu saya hadapi. Saya yakin sangat bahawa Allah Maha Kaya, Maha Pengasih dan Penyayang cuma saya saja yang alpa menilai kurnia-Nya. Ampun kan hamba-Mu ini...
Andai saya panjang umur, saya ingin sekali menjadi manusia yang amat berguna untuk diri dan orang lain...saya ingin menjadi orang besar jiwanya. Saya rasa anda juga begitu, malah sesiapa saja yang waras, pasti inginkan yang terbaik untuk diri mereka!

Thursday, December 20, 2007

Salam Aidiladha

Salam Aidiladha untuk diri sendiri! Begitulah nampaknya. Saya tidak berpeluang balik kampung. Jadi, supaya tidak kesunyian, saya TERPAKSA beraya di rumah SIL dan sebelum itu singgah sekejap di rumah adik saya. Hilang sikit rindu pada keluarga.
Malam raya, saya gagahkan diri memasak nasi impit dan kuah kacang. Kebetulannya bila saya kimbuh di dalam kabinet, terjumpa pula sekotak bahan kek instant. Apa lagi, walaupun jam dah pukul 2 pagi, saya rasa segar semula untuk memasak kek marble yang enak tu.
Pagi raya saya masak nasi minyak dan buat kurma. Cehhh...mencil tol kalau beli daging kotak neh, walaupun dah dua jam masak kurma tu mendidih atas dapur, dagingnya masih keras macam kayu...saya kena tipu si penjual daging agaknya...okey, ini kek marble saya..ada sesetengah orang dia panggil kek ni kek kuda belang...

Tuesday, December 18, 2007

Special delivery...

Semalam, saya menerima panggilan dari seorang rakan yang saya kagumi hati budinya:
"Kak, balik pukul berapa malam ni?"
"Jam 9 kot..."
"Saya nak datang rumah kakak..."
"Datanglah. O ya, akak nak order baulu pandan...Baulu saja tawww, tak mo barang percuma lain.."
"Hehehe...dia ketawa di hujung talian.
Saya berasa gembira kerana pesanan melalui telefon akan tiba ke rumah saya pada malamnya. Bukan saya malas untuk ke kedai sendiri membeli barang tetapi kalau dia datang, saya boleh buatkan milo dan suruh dia makan apa saja yang ada di rumah saya di samping membiarkan dia menikmati kekacaubilauan di ruang tamu rumah saya...hahaha...sorry mak encik, kak encik tak sempat nak berkemas...bagaimanapun perbualan saya terganggu oleh panggilan encik bangla...kwang3X! yang asyik buat miss call...tak apa!
Seperti biasa saya membuat beberapa permintaan dan antaranya memasukkan kotak menjerit dan jam oren yang membuatkan ada orang memekik di pagi hari jelesszz akan jam oren itu...
O ya, baulu pandan saya muncul dalam plastik berwarna oren bersekali dengan kek gula hangus, walnut cookies and others...hmmm...sukanya...:-)
Dan saya wajar mengucapkan terima kasih kepada empunya diri: Jentayu yang saya tahu tidak akan menyerah kalah dalam apa saja perjuangan diri dan saya doakan dia akan terus terbang tinggi di awan biru memburu rindu pada Yang Maha Kuasa...
Persis kata M Nasir, Rajawali...terbang tinggi...Jentayu pun akan begitu juga kan...

Secebis catatan...

Awan kelabu pada hujung Disember nampak lambat sekali untuk bertukar menjadi cerah. Saya jadi terkesan dengan perihal banjir di Pantai Timur lebih-lebih lagi esok seluruh umat Islam akan meraikan Aidil Adha yang sememangnya dinantikan. Bagaimanapun, syukur Alhamdulillah kerana rumah keluarga saya di Pasir Mas tidak menunjukkan tanda akan dijejaki air.
Memang, Disember kelabu menjadikan saya beku...dua tiga hari lagi tahun baru tapi saya berasa kelu untuk melafazkan azam baru kerana banyak benda yang sepatutnya saya lakukan tahun ini tidak terjadi. Tersasar jauh sebenarnya...bukan salah sesiapa tapi saya sendiri. Terlalu membiarkan ia berlaku dengan berleluasa dan akhirnya memakan diri.
Sebetulnya lagi, hujung minggu ini saya berkira-kira untuk bercuti di Port Dickson bersama KA saya tapi hasrat itu tidak menjadi kerana ada hal lain yang belum diselesaikan...mungkin lain kali.
Sayu berasa sedikit sayu dan emosi kerana saya tidak dapat menjenguk kubur arwah Abah pada pagi esok. Saya yakin dia memahami apa yang saya hadapi dan apa yang saya terpaksa telan...kalaulah dia ada, saya akan jadi lebih gagah rasanya...

Anekdot:

Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk anak-anak buah saya: Nur Khaleeda, Intan Khatijah, Nur Aishah, Ahmad Ashraff, Najla Faris Amani, Shakir Basha Adli dan Azffar Ishraff.

1) Saya ke majlis DBP bersama media dua malam sudah. Artis jemputan adalah Nash dan pengamal media tempatan. Saya dijemput Nash menyanyi bersama lagu Ku Tanam Selasih (eh betul ke judulnya) tapi saya tolak kerana saya tidak punya keberanian...suara Nash memang sedap didengar.

2) Minggu ini saya agak 'terluka' kerana dari dua pertemuan dengan doktor, saya menerima enam tusukan jarum bertujuan menyedut sedikit darah saya untuk pemeriksaan kesihatan. Makanya ada enam kesan luka di lengan dan tangan saya...luka tu...

3) Saya MC sehari pada minggu lepas dan it was a very happy day because sister saya jemput saya balik dan kami mencuri sedikit masa untuk makan dan berlegar-legar di Jaya Jusco Balakong. Saya berasa bahagia sekali...

P/S: Entah bila saya boleh menikmati hidup saya sebaiknya...

Thursday, December 13, 2007

Ubat/ Prof Dr/ Aliza

Jumaat, penghulu segala hari dan semoga Allah mengampunkan dosa saya...
MASIH lagi cerita di hospital. Petang semalam saya melepak di HUKM sehingga jam 10.30 malam sementara menunggu KA saya datang jemput. Dalam pada itu jenuhlah saya memujuk hati supaya sabar dan sabar menunggu KA selain berdoa supaya penyakit dan sakit saya akan hilang dan saya akan sihat selama-lamanya.
Sebelum itu, ketika bertemu Prof Dr Z, saya berkira-kira apakah jawapan yang akan saya berikan sekiranya dia memarahi saya kerana sudah dua kali gagal hadir pada temujanji terdahulu. Bagaimanapun perkara itu tidak berlaku kerana Prof Dr Z ini adalah seorang yang sangat lemah lembut, ikhlas (saya yakin ini) dalam mendukung etika kedoktoran dan bersih wajahnya. Memang, saya jadi penasaran setiap kali ada temujanji dengan beliau.
Bukan, bukan saya gila bayang tetapi dek kejernihan wajahnya itu, saya rasa sakit beransur hilang ketika berhadapan dengan beliau dan selepas keluar dari biliknya, sakit itu datang kembali. Apakah magis yang ada padanya?
Sungguh saya tidak tahu. Apa yang saya tahu ialah saya akan terus berurusan dengan dia sekiranya saya perlu ke klinik berkenaan. Bukankah pesakit perlu ubat dan tidak kiralah ubat itu dalam bentuk apa, asalkan sakit hilang. Bukan begitu?
Bagaimanapun, dalam jenuh memikirkan ubat berjenama Prof Dr Z bersilih ganti dengan KA saya yang belum tiba-tiba juga walaupun dah nak masuk jam 11 malam, saya berasa sangat bersyukur kerana saya tidak perlu melalui apa yang rakan baik saya lalu pada jam 7.30 malam sebelumnya. Rakan saya, Aliza, sedang bertarung dengan nasib di dalam dewan bedah PPUM kerana terpaksa membuang sebelah payudaranya akibat kanser payudara. Saya berharap Aliza memiliki semangat seteguh karang, sebanyak buih di lautan dan seluas belantara di dunia. Semoga Aliza akan pulih seperti sediakala.

Wednesday, December 12, 2007

cucuk sana cucuk sini...

SYUKURLAH, saya masih ada peluang untuk kembali menulis di blog sunyi ini. Dua tiga menjak kebelakangan ini, hidup saya agak kucar kacir. Maksud saya kucar kacir kerana beban tugas di ditempat kerja, kehilangan barang yang saya sayang dan tahap kesihatan yang merosot bermula tahun lepas, berleretan hingga kini tapi saya tak juga kurus.
Tahun lepas saya bermalam di hospital beberapa malam kerana ada minor operation di bahagian perut. Tahun ini pun saya mengalami peristiwa serupa, minor operation lagi tapi walaupun disebut minor, kesannya lebih kepada major.
Semalam saya sehari suntuk di bahagian kecemasan HUKM akibat masalah virus infection di bahagian salur kencing. Pelbagai jenis ubat yang saya terpaksa makan. Bab ambil darah tak usah ceritalah. Nurse dan Dr buat tangan dan lengan saya macam span tempat derang cucuk jarum saja.
Ini kerana mereka susah sangat nak cari vein saya untuk disedut sebotol kecil darah. Bayangkan daripada dua pertemuan dengan doktor, tangannya saya terpaksa melalui enam suntikan untuk mendapat sampel darah. Dah habis sedut, lebamnya dua minggu baru hilang. Saya sendiri ngeri mengingatkan ketika tusukan jarum itu...bagaimanapun, nasib baik dr yang ambil darah tu mukanya termasuk dalam kategori handsome+cute so sejuk sikit hati saya...hehe...
Apa-apa pun, saya mesti habiskan ubat yang diberi dan hargailah kesihatan anda sebelum anda mengalami kejadian seperti saya...

o ya, barang saya yang hilang itu ialah kamera digital yang sangat berjasa pada saya. kalau kamera itu tidak hilang, pastinya blog sunyi ini akan bergambar...

Thursday, December 6, 2007

Pantun...

Saya kerap mendengar siaran Klasik Nasional kalau berada di dalam kereta. Dulu saya pilih Light And Easy dan kini beralih kepada Klasik FM. Kadang-kadang bila berpeluang bersua dengan Pengawal Klasik Nasional, Tn Hj Chuari Selamat, saya akan beritahu dia saya pilih Klasik Nasional sebab lagu yang diputarkan amat mengasyikkan. Maksud saya lagu lama. Ada satu lagu lama yang liriknya saya kira diambil daripada pantun Melayu. Lagu yang Adibah Noor nyanyi dalam iklan...

Antara rangkap awalnya berbunyi begini:

Kalau menyanyi perlahan-lahan
dibawa angin terdengar jauh
kalau hati tidak tertahan
di dalam air badan berpeluh.

Bunga melati di dalam taman
daun yang hijau banyak yang gugur
Kalau turut makrifat iman
tidakkan air mungkin bercantum.

Bagaimanapun saya agak musykil dengan lirik baris paling akhir, sama ada tidakkan air mungkin bercantum atau minyak dan air takkan bercantum...siapalah saya nak kondem lirik asal orang dulu-dulu kan tapi ntah kenapa hati saya suka mengatakan minyak dan air takkan bercantum lebih sesuai bunyinya. O saya saya tidak belajar tasauf jadi makrifatnya tidaklah dapat saya tamsil.

Begini, semalam saya menghadiri seminar pantun di ATMA, UKM. Waahhh Pak Tenas dan Tan Sri Aziz Tapa pun ada. Kedua-duanya adalah budayawan Melayu dari dua negara yang sangat saya suka mendengar ucapan mereka, penuh berseni kerana ia disulam dengan pantun.
Di sini saya perturunkan sekerat pantun pak Tenas:

Apa guna orang bertenun
untuk membuat pakaian adat
apa guna orang berpantun
untuk mengingat petua amanat.

Dan ini pula pantun saya:

Jala putus mari dijahit
bubu tersangkut di birai jendela
ikan di laut masin nan pahit
kenapa di darat digarami pula.

Pantun anda bagaimana pula?

Monday, December 3, 2007

Penangan sambal tempoyak...

"Hello, kat mana ni?"
"Kat opislah..."
"Nak jumpa boleh?"
"Boleh..."
"Saya tunggu kat depan lif tingkat 4."
"Sekarang ek...?"
"Yalah..."

Sungguh, saya berasa gembira! Sebabnya, dialog di atas membawa saya kepada penemuan makanan yang saya suka, masal lemak tempoyak petai dan udang yang dimasak oleh Pn Anne, orang rumah En Halym. Hahaha....rezeki sayalah kiranya...ada dua bekas sebenarnya. (Satu lagi untuk Power Puff yang selalu datang dengan jentera ajaibnya berwarna hitam dan akan landing betul-betul di hadapan pagar rumah saya).
Dengan bau yang semerbak, saya menahan perut supaya tidak terlalu tergoda dengan aroma tempoyak itu. Apa yang terbayang di depan mata saya ialah seplastik roti gardenia yang akan saya cecah dengan sambal itu. Gila ke ape? Makan dengan roti? Yupppp....yummy tau...
Dulu saya tak reti makan tempoyak, belacan pun. Lepas berkahwin dengan orang Perak, saya terpaksa membiasakan tekak dengan dua fenomena aneh itu. Dan kini saya menjadi agak gemar dengan tempoyak...
Cop! Bukanya saya mengada-ngada tak taw makan tempoyak tapi sebab tak biasa...cuba suruh saya makan sos kelantan (syyy....budu oitt!) dengan nasi, pasti laju saja saya menelannya...
Huh!...memang sedap sambal tempoyak neh. Semalam, selesai buat kerja di pc, jam 2 pagi, sebelum naik tdo, saya buat badak saja capai sekeping gardenia lalu dilandingkan ke dalam bekas tempo (nama glamour tempoyak) dan dengan kelajuan pada kadar maksimum, saya lancarkan sasaran ke dalam mulut langsung gulp melalui rongga tekak...
Nak terlajak kepada sekeping lagi tapi tak boleh sebab malam sudah larut...nak tahu apa jadi? Sebaik saya sendiri melandingkan badan ke atas katil, KA saya berkalih tidur dan papan katil tiba-tiba PRAKKKKKKK......teka apa cerita selanjutnya....?!


P/S: Terima kasih kepada Pn Anne dan En Halym yang menaja last supper saya semalam! :0)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...