don't worry about failure, worry about the chances. u will miss when you don't even try...no one can predict to what heights you can soar, even you will not know until you spread your wings...

Wednesday, November 28, 2007

Cerita tentang mati...

Sebenarnya kematian sangat dekat dengan kita. Ia semakin dekat apabila setiap hari usia kita bertambah. Minggu lepas, saya balik kampung menziarah Ma saya yang semakin uzur kerana diabetic dan darah tinggi yang sekian lama dihidapinya. Rasa terubat juga rindu saya pada ahli keluarga lain terutamanya empat anak saudara saya iaitu Ida, Intan, Aisyah dan Ashraff serta mama mereka, Kak Jah yang banyak berkorban untuk kami.
Seperti biasa, saya cukup suka berada di bahagian dapur rumah kerana persekitaran yang cerah dan ada laluan angin di dapur rumah Ma saya itu. Semasa arwah abah saya dulu, kebanyakan hayatnya dihabiskan di dapur atas alasan selesa dan sejuk. Dia membaca akhbar, memotong kuku, meneliti bil yang perlu dibayar, mengilat kasut (arwah abah saya adalah anggota Rela), membela jala dan pancingnya di dapur apatah lagi sarapan, makan tengahari atau jika ada rakan beliau yang datang, rata-rata memilih di dapur. Saya pun tidak tahu apa keistimewaan dapur kecil Ma saya itu tapi saya sebenarnya bukan ingin berkisah mengenai dapur tapi ingin berkongsi cerita mengenai kematian.
Seminggu sebelum saya balik ke Pasir Mas (PM), tok saudara saya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Cu Husin telah kembali ke rahnmatullah akibat kegagalan jantung berfungsi mengepam darah ke seluruh badan (mengikut kata doktor) dan Pak Cu tidak menunggu lama sebelum dijemput Ilahi. Ceritanya, sejak muda beliau adalah penarik beca roda tiga di PM. Malah, saya yakin dengan beca roda tiga itulah dia menyara isteri dan anak-anaknya yang ramai. Pernah satu ketika, terdetik di hati saya mungkinkah hayatnya akan berakhir di atas jalan semasa mengayuh beca atau di mana. Betapa jahilnya saya kerana sanggup menghakimi kematian beliau sedangkan saya ini pun belum pasti destinasi manakah saya akan ditempatkan tapi serasa saya, tidak salah untuk saya berfikiran begitu kerana terbit rasa kasihan setiap kali melihat dia mengayuh beca sarat penumpang.
Setiap hari dia berulang alik dari rumah ke pasar membawa penumpang tanpa rasa jemu dan sekali sekala dia akan singgah ke rumah ma saya yang berpangkat anak saudara kepadanya. Lazimnya kalau dia singgah waktu tengahari, dia akan bersolat zohor di rumah Ma saya dan akan makan tengah hari di rumah itu. Begitu juga kalau asar, dia akan solat asar dan Ma saya akan hidangkan apa saja rezeki yang ada di rumah kami pada masa itu. Kalau keropok goreng dengan teh panas sekalipun, Pak Cu tetap akan menjamahnya dengan selera.
Walaupun telah bersara mengayuh beca, Pak Cu tetap akan keluar ke pekan yang jaraknya lebih kurang 15 km setiap hari dan tidak lupa singgah ke rumah kami. Saya sekali lagi terfikir bagaimana dia boleh konsisten melakukan tugas sama berpuluh tahun, mengayuh dan mengayuh setiap hari tapi dia nampak seronok dengan apa yang dilakukannya. Sepanjang kerjayanya itu, saya tidak pernah dengar dia sakit kecuali demam biasa dan sakit urat akibat usia yang meningkat.
Pada suatu pagi, Pak Cu Husin ke padang mencerut rumput untuk diberikan kepada lembu peliharaannya. Dengan hanya menyarung sarung lusuh dan t-shirt yang juga lusuh, dia mengayuh beca roda tiganya yang sama daif dengan usia beliau ke kawasan belukar rumpur tidak jauh dari rumahnya. Sekitatr jam 11 pagi, dia balik ke rumah dengan beca dipenuhi rumput untuk hidangan lembu peliharaannya. Sampai saja di rumah, beliau diserang semput dan mengalami sakit dada secara tiba-tiba. Beliau pengsang di dalam bilik ketika ingin menukar pakaian yang lebih bersih. Seketika kemudian, beliau kembali sedar dan memanggil anaknya meminta di bawa ke hospital. Anak perempuan belai tanpa berlengah memandu ke Hospital Lati tapi diarahkan membawa bapanya ke Hospital Kota Bharu memandangkan keadaan sakitnya yang serius.
Di HKB, Pak Chu dimasukkan darah dan ada banyak drip di badannya selain beliau mengalami pengsan beberapa kali dan keadaan bertambah kritikal dan beliau semakin nazak. Dalam keadaan nazak itu, beliau masih sempat meninggalkan pesan kepada isteri dan anak-anak supaya tidak risau dengan ketiadaannnya kerana dia yakin ajalnya sudah tiba malah maut juga tidak sabar membawa beliau ke alam barzakh yang tidak diketahuo bagaimana cakerawalanya.
"Yah, mu jua lah lembu ayoh tu. Tok payoh susoh-susoh pegho, lamo ke payoh pulok nok bui make."
"Bakpo ayoh kato gitu..."
"Ayoh nok gi doh ni. Ayoh napok doh tepat hok ayoh nok gi. Ghoyak ko mek, jange bimbe sebab tapat hok ayoh nok tuju ni teghe...ceghoh mace pase lapu. Ayoh napok doh maso ayoh lelap takdi..."
"Ayoh ngucap ayoh...ayoh jange lupa agamo asal usul ayoh.."
"Ayoh ingat ..."
Selepas itu, ketika jam menghampiri 11 malam, beliau menghembuskan nafas terakhir disamping lingkungan isteri dan anak-anak. Mengikut kata doktor, jantungnya sudah tidak boleh mengepam darah lagi dan urat-uratnya juga sudah kaku akibat pertambahan usia dan kerja keras yang dilakukan sepanjang hidupnya. Beliau meninggalkan keluarga dengan aman dan lembut...cara kematiannya menyamai cara arwah abah saya habis umur. Bezanya, abah saya di pembaringan di rumah selama empat hari dan dua jam di katil hospital manakala pak chu pula hanya meminjam masa selama 12 jam saja untuk menemui Ilahi. Innalillahhiwainnailaihirojiun...al-Fatihan untuk mereka.

Sunday, November 18, 2007

Sekeping kayu...

Walaupun ia hanya sekeping (keping, bongkah?) kayu pencincang, ia termasuk dalam senarai barang kesayangan saya. Setiap kali memasak, saya gunakan ia untuk menjadi alas memotong apa saja seperti ikan, bawang, sayur etc...memang ia hanya kayu.

Saya membelinya di tepi jalan berdekatan kawasan orang asli di Pahang, ketika itu saya on the way balik ke Balok dari Muadzam..Ada satu gerai orang asli yang menjual bongkah kayu ini. Ada bentuk bulat, persegi dan oval. Saya memilih oval dan harganya cuma RM10 saja. Memang murah tapi ia memberikan saya satu kenangan yang sangat mahal. Kenangan itu pula tidak mungkin dapat saya beli lagi kerana ia tidak ada dijual walau di mana sekali pun. Papan kayu itu menjadi sangat bernilai dalam hidup saya kerana ia dipilih oleh arwah Abah saya kira-kira 1 setengah tahun lalu dan ia menjadi barang terakhir yang kami beli sama-sama...dua bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir. Al-Fatihah!

Manikam Kalbu...

Assalamualaikum...saya mula bercuti hari ini tetapi terpaksa juga menjenguk persekitaran kerja kerana ada sesuatu yang belum selesai antara saya dan majikan. Tak dapat tidak, saya harus akur. Jadi, sambil menunggu masa bertemu majikan, saya menghadap sebuah buku karya Faisal Tehrani berjudul Manikam Kalbu (saya pinjam judul bukunya untuk entry saya kali ini). Kenapa? Kerana saya suka dengan buku ini.
Pertamanya, saya teringat kepada pepatah Inggeris Don't Judge A Book by It's Cover. Benar, meskipun covernya seperti siri kartun, seekor kucing gemuk berwarna biru nila di hadapan mesin jahit tapi isinya sangat berinformasi bagi saya yang gemar menjahit. Entah kenapa saya teruja sungguh dengan kulit luar buku Faizal kali ini. Sebelum ini saya membeli buku beliau hanya kerana saya ingin menyimpan dan baca bila ada kelapangan namun Manikam Kalbu benar-benar menikam kalbu saya...bukan memuji kosong tapi saya sebolehnya tidak mahu ketinggalan setiap satu perkataan pun dalam MK ini kerana saya kagum dengan buah fikiran si pengarang menukil idea sebegini baik dan lain daripada yang lain.
MK hanyalah kisah asal usul baju kurung sebenarnya tapi saya berasa seperti memasuki kutub khanah yang kaya dengan ilmu busana dan fabrik Melayu. Jadi rasanya saya tidak sia-sia membeli buku ini dan saya akan hadiahkan buku ini kepada seorang sahabat yang sentiasa manis di hati saya, Jentayu, usai membacanya kelak.
Ok, berbalik kepada percutian saya pula...cadangnya nak balik menjenguk Ma saya yang semakin uzur di negeri Cik Siti Wan Kembang tapi lantaran urusan yang belum selesai, saya tangguhkan perjalanan saya dan KA saya kepada esok selepas Subuh. InsyaAllah.
O ya, jika berkesempatan saya akan tempelkan wajah MK kemudian...

Thursday, November 15, 2007

Saya mulakan dengan Bismillah....

Alhamdulillah, sudah lama saya ingin membangunkan dunia sunyi ini di papan skrin dan kini ia akhirnya wujud juga. Semoga dunia sunyi yang saya bina ini berupaya menjadi anjung rahmat untuk semua, menjadi perteduhan nyaman untuk saya dan sesiapa yang berkunjung ke sini...meskipun sunyi tapi saya tahu ia tidak akan sunyi di hati saya...sampai berjumpa lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...