Saturday, May 8, 2010
Rindu yang tertangguh...
Ada beberapa mesej daripada Mustakim dan paling menggembirakan Zain ialah kelasnya yang diambil alih Mustakim selama seminggu berjalan lancar. Apakah yang diajar Mustakim sebenarnya. Bagaimana pula dengan kehadiran pelajarnya?
Dia sebenarnya tidak sabar untuk kembali ke dapur sendiri dan kelas yang sudah seminggu ditinggalkan. Paling menghantui diri adalah sekeping hati kecil yang ditinggalkan dalam kengiluan di katil hospital. Kalau boleh, Zain pun tidak mahu meninggalkan hati itu bersendirian. Tidak tahu kenapa, dia berasakan bagai ada kata yang tidak terlafaz jauh di lubuk hatinya sendiri...Yaya!
Tuesday, May 4, 2010
Alangkah hati...inikan pula perasaan
Butir tulisannya bulat-bulat, huruf T menjungkit ke atas tanda si penulisnya mempunyai cita-cita besar dan tinggi melangit. Memang tulisan Farha atau panggilan manjanya Yaya, sangat kemas dan teratur, tidak seperti tuannya yang kadang kala kelihatan panik dan gopoh gapah.
Saiz tulisan sama dan bulat dengan sendeng juga sekata. Huruf T paling nyata mempunyai palang meninggi dari kiri ke kanan sekali gus menyatakan Farha memiliki angan-angan tinggi mencecah ke bulan dan paling mengujakan Zain, Farha ingin menjadi tukang masak yang disegani.
Tukang masak, ya tukang masak yang mendiami dapur sepertinya. Berpanas dan berpeluh menyediakan hidangan untuk dinikmati siapa saja di meja hidangan. Kalaulah Farha tahu tugas itu memenat dan memeningkan kepala, tentunya awal-awal lagi sudah diketepikan cita-cita itu.
Apa tidaknya, jam tiga pagi baru menjenguk ruang istirehat di rumah. Ketika hidupan lain sudah lena diulit mimpi, dia baru membuka kunci rumah. Ketika makhluk lain sudah hampir bangun, dia baru selesai membersihkan diri dan kadang kala membaca akhbar yang sudah ketinggalan hari akibat kesuntukan masa. Bukan saja akhbar yang tidak sempat dibaca, bersusun bahan bacaan lain menunggu dibelek dengan habuk sudah bertamu pada permukaan buku. Farha, kalaulah kau tahu tugas ini membuatkan aku hilang satu kehidupan, bahkan hilang banyak perkara dalam hidup, pastinya kau ngeri untuk menjadi penghulu dapur.
Jenuh meneliti ayat Farha, rindu tidak berkuranganpun dan salji awal musim sejuk di Seoul makin melebat turun. Semalam, ketika keluar dari stadium Olimpik di kota Seoul, Zain melihat dedaun kemerahan di hampir kebanyakan pokok di sepanjang jalan, nampak muram dan suram bergayut dimana-mana. Ketika itu wajah Farha terlintas di matanya dan kerutan kesakitan jelas pada pandangannya. Farha masih sakit dan belas kasihannya membuak-buak mengingatkan si pemilik nama itu yang kini semakin menghantui mindanya...pagi dan petang, siang berganti malam...
Tuesday, April 27, 2010
Salji mula turun dan hati pun beku...
Sambil merenung ke arah tingkap kaca, Yaya menggosok-gosok kekura tangannya yang masih bengkak dan sakit akibat lama drip dicucuk di situ. Memang bengkak masih kelihatan dan ngilunya tusukan juga seakan terbayang-bayang di mata.
Ah sudahlah ingatan, padamkan segera. Dia tidak mahu lagi mengingat kisah lama. Tiada guna diingat dan digali semula, tetapi kenangan itu juga penting dan tidak boleh dinyahkan kerana ada antaranya amat mengacau minda dan mengetuk perdu ingatan.
"Please makan ya. I made it special for you..makan. Saya buat dengan bersungguh-sungguh untuk bekal pada Yaya.."
"Terima kasih Encik..Zain"
"Zain saja..no encik-encik except u are in my class.."
Perbualan singkat itu terngiang-ngiang hinga kini dan orangnya entah di mana. Hendak dijejak tidak mungkin sama sekali kerana kata Faris, cikgu mereka yang seorang in menghadiri seminar kulinari di negara orang.
Arghh...denyutan di bahagian bawah perut menyentap kenangan Yaya. Kenangan yang sudah terbang dan hilang di tiup angin senja yang sendu dan berpalit rindu menebal.
Ibarat pantun lama yang sarat hantaran kasih...
kalau nak gugur, gugurlah nangka
jangan terkena si ranting pauh
kalau nak tidur, tidurlah mata
jangan terkenang orang yang jauh...
Yaya tidak sedar emaknya masuk membawa sedulang hidangan. Segelas air milo panas, sepinggan nasi putih dan ikan pelata bakar. Menu berkenaan selayaknya untuk orang dalam pantang saja.
"Mak, Yaya tak lapar. Tak ada selera. Tekak Yaya rasa sempit mak."
"Jangan begitulah Yaya. Ya kena makan. Makan sikit pun jadilah. Kalau perut kosong, macam-macam boleh jadi."
"Yaya tak mahu.."
"Mak suapkan.."
Dia lihat emak menggaul nasi dengan sudu dan meletakkan pinggan di atas meja di sisi katil. Rasa belas pula melihat emak berusaha untuk memberi dia makan.
"Tak mengapa mak, Yaya makan..Yaya janji Yaya makan. Tapi biar Yaya baring dulu..sekejap saja Mak. Rasa semput sangat naik tangga tadi..Yaya makan kemudian."
"Emak tak paksa Yaya makan. Jangan berjanji Ya, mak tak paksa. Emak cuma nak Yaya cepat baik, kembali pulih seperti biasa..."
Selepas emak melangkah keluar, dia memandang kosong ke arah nasi berlauk ikan bakar yang sangat enak itu tetapi tekaknya terasa sempit. Ngilu menyucuk-nyucuk dan kepalanya sedikit berpusing, mungkin kerana kesakitan di bahagian perut terlampau kuat, maka sakitnya itu menjalar sehingga ke kepala.
Serba tidak kena dibuatnya. Berlunjur salah, duduk pun tidak semena-mena mencerut rasa sakit pada seluruh badan. Betapa sulit untuk menerima siksaan yang sedikit apatah lagi siksaan di hari akhirat esok. Ini baru sedikit Allah menumpahkan dugaan, hanya seinci saja perutnya ditoreh dan bukan dicincang lumat, tapi sakitnya menjalar ke segenap ruang badan, hati dan perasaan. Bercampur pula dengan rasa aneh yang mula memanah-manah ulu hatinya lantaran merindui seseorang, rindu yang tidak berasas dan tidak pasti!
Yaya, kuatkan tekad. Kau tidak boleh membiarkan perasaan itu menghiris kewarasan. Bukan ke tekadnya dulu nak jadi tukang masak, nak jadi macam emak, ada kedai sendiri. Jadi tauke di kedai sendiri dan paling utama, Anjung Yaya sentiasa makmur dengan pelanggan. Itulah namanya, Anjung Yaya, sebuah kedai makan alias tempat istirehat paling aman di bumi ini. Yaya akan usahakan sampai berjaya dan sebelum berjaya dia mesti berhempas pulas dulu menimba ilmu serta tidak boleh membuang masa.
Dalam leka mengenang perjalanan yang akan dirintis kemudian, tangannya tersadung bantal dan kenangan bertempiaran lari menjauh kerana kesakitan menjemput nyeri pada wajahnya. Aduh, siksanya diri, tangan bengkak dan denyutan makin menekan di kawasan torehan. Sabarlah perasaan. Ini ujian Allah untuk dia, dan dia mesti redha menerimanya..semuanya berbaur menjadi satu sebelum dia mula memejam mata rapat seolah-olah ingin menepis segala kesulitan yang dialami kini.
Jauh di kota Seoul, ada sekujur tubuh yang berbalut kaku di dalam selimut tebal menahan sejuk, menahan dingin salju halus yang mula turun berjerebu andai dilihat menerusi tingkap dan jerebu itu seolah-olah rindu hatinya yang semakin membanjir lapangan rasa, makin lebat dan lebat mencurah-curah seperti air di empangan yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Rindu itu kaangkala seperti sakura mengorak kelopak, wangi dan cantik tapi hanya sekadar indah pada pandangan mata dan hiduan naluri namun tidak boleh dicapai kerana kedudukannya terlalu tinggi! Tragisnya perasaan ini...!
Zain memejam mata rapat dengan harapan dia mampu melelapkan mata sekejap untuk bertembung dengan seseorang di dalam mimpi...
Monday, April 26, 2010
Kenangan...
Yumie gadis campuran, berdarah Korea dan Jepun, dari rumpun yang sama tapi menghabiskan masa remaja di Boston kerana mengikut keluarga berpindah ke sana. Namun naluri Yumie begitu menebal dengan resam Korea. Walaupun penampilan Yumie sangat Bostonian, percikan Korea masih ada pada gadis itu dan Alice pula seperti kebanyakan gadis Korea lain, sangat fashionable dan pemalu.
Begitupun wajah Yumie yang cantik dan raut Alice yang lembut tidak dapat mengubat rindu dan walang di hatinya terhadap Kuala Lumpur. Dan saat itu dia merasakan Kuala Lumpur juga menunggu kepulangannya lebih-lebih lagi sekeping hati yang ditinggalkan terlantara di wad hospital. Sekeping hati yang ditinggalkan bersama satu termos teh dan sebekas sandwich tuna serta roti planta. Ntah dimakan ntah tidak menu ringkas tetapi disediakan dengan penuh rindu dendam itu. Hakikatnya, ada cinta sendu dalam setiap kepingan roti yang disediakan, ada curahan sayang dalam setiap bancuhan teh yang dibuat.
Zain menyandarkan belakang ke sofa empuk itu. Menerawang lagi..lagi dan lagi. Menerawang jauh ke bilik berbau ubat dengan kipas berputar malas. Petang ketika dia tiba, nurse baru saja menukar kantung air di katil itu. Sekujur badan tidur lena tapi ada kerut nyeri sesekali terkesan pada wajah itu. Kerusi berwarna hitam ditarik perlahan, amat perlahan supaya tiada sebarang bunyi yang boleh mengejutkan badan yang lena itu.
Perlahan-lahan Zain duduk di birai katil dan membetulkan selimut putih. Ditarik lagi hingga menutupi sebelah lengan bogel tanpa ada kain yang menutup. Tentunya sejuk kerana dia nampak kuku di bahagian hujung jari kebiru-biruan.
Direnungnya wajah itu. Memang lena tetapi kesan kesakitan nyata berbekas kerana anak matanya seakan tidak lena lantaran kerap bergerak seakan menerawang juga walaupun jasad nampak nyenyak.
Rambut hitam sekana coklat pekat itu berjurai pada bahagian dahi. Tuan empunya diri kaku saja sedang kantung air dan darah menitik malas dari tiang pergantungan. Memang titisannya amat lambat seakan malu untuk menyatukan diri dengan sekujud jasad itu.
Kau sudah kehilangan banyak darah, berehatlah dengan aman. Kembalikan kekuatannya yang sudah hilang bersama banyak darah yang tumpah dua tiga hari ini. Dilihat lagi, ada desus halus dari hidung jasad yang kelihatan lena dalam pembaringan yang nyaman.
Beg yang berisi sandwich tuna dan roti planta sudah diletakkan di tepi almari. Zain ingin bercakap dengan doktor, ingin bertanya kenapa berlaku kes sebegitu kepada penuntutnya itu. Rasa belas membuak-buak untuk mengetahui apa yang dialami Yaya. Meskipun tiada sebarang pertalian darah, darahnya sudah mengalir dalam badan Yaya. Kes kecemasan tergesa-gesa begitu menyebabkan dia menyuakan diri kepada doktor untuk memberikan sedikit darahnya untuk dimasukkan ke dalam badan Yaya.
Zain ingat lagi, doktor memberitahu Yaya mempunyai ketidakseimbangan hormon, ada PCOS dan endometriosis pada bahagian rahim dan pendarahan berlaku dengan teruk kerana ada salur darah bocor. Justeru, Yaya mengalami pendarahan seperti haid tetapi sebenarnya apa yang keluar itu adalah bersih.
Kesiannya Yaya, membazir darah! Dan dia sebenarnya tidaklah begitu mengetahui mengenai apa yang Yaya hidapi tapi dia sudah berjanji dengan dirinya untuk membuat carian di laman web bagi memahamkan diri dengan situasi Yaya.
Sejurus perbualan dengan doktor selesai, dia nampak Yaya mula bergerak dan dalam kepayahan itu Yaya bangun untuk ke bilik air. Alangkah hibanya hati meluhat gadis itu bergerak perlahan untuk bangun dengan drip bercacak di bahagian atas tangan. Ingin dipangku dan dipapah, tetapi tidak mungkin tuan empunya badan membenarlan dirinya disentuh apatah lagi dipangku atau didukung...
"Zain! Zain! Morning.."
"Hi Yumie...o sorry dear..day reaming!"
"Something or someone that u really miss?" Ada senyum nakal di hujung bibir nipis Yumie..
"Nope..im just thinking about Kuala Lumpur..."
"Owh..two days to go and u can go back to your hometown. Come, have some breakfast and we will have a long journey after this. Alice, Ben and David waiting for us. I'll prepare a bibimbab for you today."
Jauh di dalam hati. Zain berkata...aku merindui sekujur dan seraut wajah itu. Wajah mulus yang tulus dan hati batu yang sentiasa menyatu dalam diri ini...andainya kau tahu...
Angis sejuk musim dingin di Seoul bertiup nyaman menyapa hati Zain yang mula hangat walaupun dingin melata-lata di kota itu..
Sunday, April 25, 2010
Petang yang sunyi
Mak, Yaya bosan di sini. Doktor kata esok Yaya boleh keluar hospital. Bosan Mak, Yaya dah lama tak baca buku. Apa cerita di kelas Yaya. Apa yang mereka belajar, Yaya sudah banyak ketinggalan. Habislah Yaya nak jadi student terbaik. Memang punah apa yang Yaya rencanakan selama ini.
Jauh di dalam hati, Yaya terkenang sandwich tuna dan tea yang dibawa seseorang ketika dia terlantar dulu. Walaupun sandwich tuna itu dia tahu membuatnya sendiri, tapi sandwich tuna yang dimakan petang itu amat enak dan sedap, terasa kenyang berhari-hari lamanya apabila mengingatkan sandwich tuna yang tersusun kemas di dalam bekas berwarna biru..dan secawan teh yang ada segala di dalamnya...ada rindu, ada ikhlas, ada kesian dan ada rasa yang tak terungkap.
Dan dia telah meminum teh itu dengan perlahan-lahan seolah-olah teh yang secawan itu mampu mengubati luka berzaman...alangkah...di manakah dia yang membawakan sandwich tuna dan teh itu..ada rasa aneh menyelinap dalam diri...
Sejuk di Seoul...
Dari tingkat 21 bilik bernombor 34 di Apartment Oakwood yang terletak di tengah-tengah kota raya Seoul yang dingin, ada sekeping hati yang lebih dingin daripada suhu 14 darjah celsius yang melanda kota raya berkenaan.
Hati itu sudah lama beku dan dingin sejak meninggalkan Kuala Lumpur dua minggu yang lalu. Hatinya beku kerana dia merindui sekeping hati lain yang tidak memahami betapa dia dalam diam menanam sepohon tunas rindu kepada segala-galanya milik seorang Yaya yang sentiasa ingin didampinginya.
Dia ingat masinnya gulai Yaya, dia ingat manisnya kopi Yaya dan paling dia ingat wajah Yaya pucat bak mayat ketika dia mengangkat batang tubuh itu ke keretanya beberapa minggu lalu. Tiada nafas yang melalui kerongkong gadis itu, hanya sekujur tubuh yang seolah-olah urat nyawanya sudah dicabut dari jasad.