don't worry about failure, worry about the chances. u will miss when you don't even try...no one can predict to what heights you can soar, even you will not know until you spread your wings...

Tuesday, April 15, 2008

hari ini, dua tahun lepas...

Assalamualaikum, hari ini, 15 April...dua tahun lepas (2006)...adalah satu tarikh yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila selagi hayat dikandung badan. Hari ini, dua tahun lepas, Abah saya menghembuskan nafas terakhir di samping Ma dan jiran kami bernama Azhar di Hospital Kota Bharu.
Saya dan adik beradik lain semuanya tiada di sisi Abah ketika beliau nazak di saat akhir. Kata Ma, arwah pergi dengan senang, tiada sebarang rasa yang tidak kesampaian, hajatnya tertunai dan mata arwah rapat. Hanya dua jam di wad kecemasan dan setelah Dr memberitahu Ma saya bahawa badan arwah sudah tidak boleh menerima sebarang cecair lagi, Ma saya reda dan melapangkan dada mengajar arwah mengucap!
Abah mengalami sakit dada selama empat hari dan beliau hanya di pembaringan sambil menggagahkan diri bangun untuk membersihkan diri, solat, memotong kuku dan bercukur. Katanya dia rindu anak cucu dan kami hanya diberitahu oleh Ma bahawa Abah kurang sihat, jadi saya dan adik beradik lain tidak terfikir bahawa itu adalah kerinduan Abah yang terakhir kepada kami. Kalaulah kami tahu, kami akan balik selaju angin, sepantas kilat dan sederas ombak untuk menatap arwah tapi apa kan daya...kami hanyalah insan kerdil dan Abah memang sentiasa berat hati untuk menyusahkan kami.
Seperti kelaziman, walau sakit macam mana sekalipun, kami jarang dikhabarkan kerana pendiriannya ialah beliau tidak mahu menyusahkan anak-anak. Selalunya, kami akan tahu setelah dia sembuh.
Begitulah Abah...setiap April, mangga lemak manis berbuah lebat hingga bergayutan di laman rumah (Abah yang menjaga pokok itu)...dan Abah sanggup tidak memetik buah itu untuk menunggu kami balik dan memetik sendiri. Itulah Abah, setiap kali membeli sesuatu untuknya, beliau akan menerima dengan senang hati tanpa mengira mahal atau murah apa yang dibeli...ada sehelai baju yang kami beli dipakainya pada hari beliau meninggal dan ketika jenazahnya hendak dimandikan, baju itu terpaksa digunting bagi memudahkan urusan penyempurnaan jenazah. Sampai kini, kemeja T yang bergunting elok itu masih di simpan Ma saya di dalam almari baju Abah.
Saya tahu Abah pergi dengan hati lapang kerana kami semua sudah berdikari pada hari kematiannya...Al-Fatihah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...