don't worry about failure, worry about the chances. u will miss when you don't even try...no one can predict to what heights you can soar, even you will not know until you spread your wings...

Wednesday, January 20, 2010

Al-Fatihah Dr Anuar Nor Arai

Saya agak sentimental apabila mendapat tahu seorang lagi sifu saya kembali ke rahmatullah hari ini, tepat jam 5.20 petang kerana masalah jantung. Khabarnya beliau koma selama tiga hari selepas lima hari dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta.

Sungguhpun saya bukan penuntut filem, tetapi saya berasa seronok untuk mengimbas semula bagaimana saya mempunyai hubung kait dengan individu yang tiada duanya ini.
Anuar Nor Arai @ Dr Anuar saya kenali seawal 1992, ketika mengambil subjek filem di Jabatan Pengajian Media, UM. Saya tidak terfikir untuk belajar filem pasa ketika itu. Mungkin juga kerana tiada pilihan, saya memilih kertas berkenaan untuk dipelajari selama setahun. Maka jadilah saya manusia filem selama setahun. Diakui saya memang 'buta filem' pada peringkat awal saya belajar filem daripada arwah.

Saya masih ingat, kami dikehendaki membuat presentation mengenai sebuah darma berjudul 'Long' (kalau saya tidak silap judulnya). Drama ini dibintangi Jalil Hamid sebagai watak utama. Long adalah manusia sunyi yang hidupnya penuh dengan kebisuan dan kesunyian. Drama ini banyak bermain dengan 'shadow' sebagai simbolisme kepada keadaan Long yang sunyi. Maaf, saya tidak ingat kenapa watak ini dihadirkan sebagai sunyi. Maklumlah, sudah 19 tahun saya melepasi masa.

Drama ini juga banyak membuatkan saya berfikir. Lebih menyeramkan, saya diberi tanggungjawab sebagai pembentang pertama. Dengan hati gundah dan kepala berserabut, saya membuat pembentangan dengan berhati-hati supaya tidak tersasul akan setiap tutur kata yang saya ucapkan.

Sebenarnya saya cuba membuat pengucapan dengan panjang lebar supaya student lain menerima penerangan saya dengan jelas, so pastinya mereka tidak akan ada banyak soal jika mereka faham apa yang saya katakan. Saya bernasib baik kerana penyampaian saya mudah dan difahami walaupun ada rakan yang nakal yang cuba 'menguji' saya. Lega juga rasanya bila saya berjaya mendapatkan markah yang agak baik untuk kumpulan kami.
Selepas kejadian pembentangan kertas kerja Long, saya semakin faham dunia filem walaupun apa yang saya pelajari dari arwah itu adalah tidak sampai setitik pun daripada air di lautan samudera nan luas.

Kemudiannya, inilah yang membuatkan saya sentiasa berasa berada dalam nostalgia apabila disuruh membuat shooting 'Johnny Bikin Filem - JBF' (sebuah genre period hak mutlak Anuar Nor Arai saya kira) yang dilakukan di Kuala Selangor. Antara yang saya masih ingat ialah rakan sekuliah Mohd Ezani Idris, Rodziah Hj Mat Akil, Monica Chan Lup Man, Zahariah (Along), Khairul Anuar dan beberapa lagi. Kami berkampung di Kuala Selangor beberapa hari untuk menyiap bahagian tertentu JBF dengan pemantauan Dr Anuar.

Keadaan ini amat menyenangkan saya kerana kami bekerja seperti satu team filem. Walaupun filem yang dibikin oleh penuntut tahun 2, saya berasa seperti kami membikin filem besar kerana cita-cita dan doktrin Dr Anuar berpasak kukuh di dalam minda kami. Johnny Bikin Filem mesti dizahirkan. Walau apa kritikan yang dilemparkan kepada sifu kami ketika itu, beliau tetap tegar. Walau angin membadai datang, beliau ampuh di sisi kami. Walau taufan tohmah melanda, beliau tekun menyiapkan JBF dengan kebanyakan pelakonnya adalah di kalangan kami-kami juga. Antara yang saya ingat ialah Linda Lee Mei Ping yang menjadi perempuan kabaret. Linda terpaksa belajar memegang rokok dengan cara yang betul. Daripada Kuala Selangor, lokasi shooting bertukar kepada sebuah kabaret instant di Dewan Tunku Canselor, UM.
Rakaman berjalan smooth dan dan DTC juga dipenuhi kami yang tidak sabar2 untuk melihat JBF siap.

Ok, usai sudah rakaman yang dilakukan dan saya dan yang lain beralih ke fasa kedua. Pameran JBF di Dataran Sastera. Kami sekali lagi bertungkus lumus dan bersengkang mata untuk menyiapkan poster, gambar, keratan filem dan apa-apa saja yang ada kaitan dengan JBF. Memang saya tahu ada yang memperkecilkan usaha Dr Anuar untuk mempamerkan hasil kerja beliau dan kami, tetapi kami tekad mengiringi beliau untui menzahirkan pameran JBF itu. Memang, usaha penat lelah berbaloi dan kami berjaya menyelesaikan misi JBF walaupun dengan bajet student.

Setahun, dua tahun dan tiga tahun. Saya tidak major dalam jurusan filem, tetapi masih mengikuti perkembangan dia. Melalui beliau saya mengetahui beberapa istilah filem, itu dan ini. Melalui beliau saya mengenali Kurosawa, Stanilavsky dan ramai lagi yang sudah berkubur di dalam minda saya.

Selepas memasuki alam pekerjaan, saya masih lagi bertemu beliau dalam beberapa aacara berkaitan kebudayaan dan filem. Dia masih seperti biasa, masih ingat pada saya yang pernah menjadi studentnya pada satu ketika dulu.
Saya tidak boleh lupa saat dia memberikan nasihat kepada saya supaya teruskan apa saja yang ingin saya lakukan dalam hidup ini, teruskan saja. Usah peduli apa kutukan sekeliling kerana katanya kita berusaha untuk kemajuan kita, sekeliling hanya tahu mengata.
Sungguh, saya berasa sedih walaupun saya tidak menjadi student filem di bawah pengajaran beliau.

Walau apa pun, saya sangat menghargai tempoh masa dua tahun saya menjadi penuntut beliau. Saya banyak menimba ilmu yang tiada di halaman buku daripada beliau. Saya banyak belajar ilmu gerak geri kemanusiaan daripada beliau walaupun tiada kuliah khusus mengenainya. Saya banyak belajar membaca gerak hati daripada beliau walaupun saya bukan penuntut beliau yang sejati. Sungguh, dia guru yang saya hargai kerana memberi ilmu yang boleh saya manfaatkan sepanjang hayat.

Akhir kata, patah tumbuh hilang berganti. Yang hidup tiada kekal di alam fana ini, setiap kita pasti menemui kematian. Saya sudahi dengan al-Fatihah untuk beliau, semoga rohnya dicucuri rahmat daripada Allah Yang Maha Kuasa.
Amin.

3 comments:

Fizahanid said...

ALfatihan untuk Allahyarham. Saya kenal dia melalui berita saja. Bertuahnya akak mengenal dia sebagai sifu.
Saya setuju dgn kata-katanya, kita menjadi kita untuk kemajuan kita, orang hanya tahu mengata.
Aduh, sentimental pulak. Tgh mood begini, kalau dapat tumpah di kertas, jadi novel bagus kak kan? :)

I am... said...

yelah fizahanid..he's among the best that i ever known...dia ada aura dia sendiri..susah nak challenge..!

Kamariah Kamarudin said...

salam kanda Shasha
wah lama betul kita tidak bersua ya. catatan ini turut mengingatkan saya tentang pengalaman dan kenangan di Jabatan Pengajian Media nun beberapa tahun berlalu; memang enjoy habis belajar dengan arwah walaupun sarat dengan falsafah kerana kita akhirnya "celik filem" dan "seni" lantaran diarah buat drama (shooting) dan "ilmu"nya masih kekal dalam nubari kini!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...