don't worry about failure, worry about the chances. u will miss when you don't even try...no one can predict to what heights you can soar, even you will not know until you spread your wings...

Thursday, April 29, 2010

15 Jamadilawal 1431, sudah melepasi Zuhur.,.

Ada orang menghakim garis usia dengan jumlah uban di kepala manakala ada yang lain pula menyukat jumlah kematangan usia dengan bilangan zuriat atau cahaya mata yang semakin membesar. Ditinjau lebih jauh, tidak kurang juga menghitung usia dengan barang cenderahati dihadiahkan suami atau orang tersayang, tetapi saya memilih untuk memandang ke belakang melihat jejak yang sudah saya lalui sambil bersiap sedia mengatur jejak baru dalam menempuh liku-liku usia yang semakin hampir pada satu sisi ke arah panggilan Ilahi dan pada satu sisi lain kematangan mempengaruhi hidup untuk berani membuat keputusan sendiri.

Hakikatnya, memang sulit untuk mentafsir hidup kerana kita adalah pengkarya pada sebuah kanvas kehidupan yang sangat rencam warnanya, sangat pelbagai rona kerohanian dan jasmaninya serta payah mengukur dan membaca gerak geri kemanusiaan di pentas yang dipinjam Ilahi ini.

Memang kalau ditanya, semuanya tidak mahu tersilap langkah, tidak akan masuk ke dalam perigi buta dan tidak akan berani memijak onak berduri yang menyakitkan, namun kita adalah insan yang hanya meminta ihsan daripada Pencipta kita yang sentiasa mengetahui gerak hati, panca rasa dan deria kemahuan yang kadangkala mengamarah bagai api membakar tujuh tanjung dan ada ketikanya pula sejuk dan dingin seperti diamnya lautan sunyi yang menyimpan sejuta rahsia yang tidak terungkap di dunia bawah sana di dasar lautan.

Esok, jam 8.30 pagi, 39 tahun lalu, saya dilahirkan di sebuah rumah yang menyaksikan saya membesar dan meniti usia kanak-kanak, tetapi apabila menginjak ke usia remaja dan sehingga saya diijabkabulkan, saya diam di dalam rumah lain. Esok, tanggal 30 April bersamaan 15 Jamadilawal 1431, genap sudah usia saya berdiri dan bernafas pada angka 39 tahun, satu angka yang sudah menghampiri takah selepas 'Zuhur' dan menuju ke waktu 'Asar' saya kira, tetapi saya berasa seperti baru saja lepas menikmati dingin dan hening 'Subuh' bukan kerana saya ingin sentiasa berada di permulaan hari sebaliknya saya menyedari kalau ada hayat saya ingin melalui waktu 'Maghrib' dan 'Isya' dengan tenang dan damai tanpa sebarang kesulitan.

Saya terkenang percikan warna pelangi, awan yang kelabu dan tengahari yang cerah serta petang yang gelap yang saya sudah pernah mengalaminya sejak sekian lama dan saya tidak tahu renjisan warna apa pula yang akan saya simbah pada kanvas hidup yang sangat mahal harganya sehingga kadang kala meluluhkan hati untuk mencorak catan supaya nampak teratur dan kemas.

Selamat hari lahir untuk diri saya sendiri..satu saja yang saya mahukan sejak akhir-akhir ini..supaya saya kelak tidak akan menyusahkan sesiapa sehingga akhir hayat saya...

Sha..selamat hari lahir!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...