don't worry about failure, worry about the chances. u will miss when you don't even try...no one can predict to what heights you can soar, even you will not know until you spread your wings...

Tuesday, April 27, 2010

Salji mula turun dan hati pun beku...

Tiba di rumah, dia terus menuju ke bilik dan merebahkan belakang perlahan-lahan di atas tilam kekabu yang sudah dikemaskan oleh emak. Cadar merah jambu berbunga hitam diraba lembut. Bantalnya juga diperbuat daripada kekabu. Terasa empuk saja di kepala dan badan tatkala keseluruhan badannya berbaring di situ, ada beza dengan berbaring di katil hospital.
Sambil merenung ke arah tingkap kaca, Yaya menggosok-gosok kekura tangannya yang masih bengkak dan sakit akibat lama drip dicucuk di situ. Memang bengkak masih kelihatan dan ngilunya tusukan juga seakan terbayang-bayang di mata.

Ah sudahlah ingatan, padamkan segera. Dia tidak mahu lagi mengingat kisah lama. Tiada guna diingat dan digali semula, tetapi kenangan itu juga penting dan tidak boleh dinyahkan kerana ada antaranya amat mengacau minda dan mengetuk perdu ingatan.
"Please makan ya. I made it special for you..makan. Saya buat dengan bersungguh-sungguh untuk bekal pada Yaya.."
"Terima kasih Encik..Zain"
"Zain saja..no encik-encik except u are in my class.."

Perbualan singkat itu terngiang-ngiang hinga kini dan orangnya entah di mana. Hendak dijejak tidak mungkin sama sekali kerana kata Faris, cikgu mereka yang seorang in menghadiri seminar kulinari di negara orang.
Arghh...denyutan di bahagian bawah perut menyentap kenangan Yaya. Kenangan yang sudah terbang dan hilang di tiup angin senja yang sendu dan berpalit rindu menebal.
Ibarat pantun lama yang sarat hantaran kasih...

kalau nak gugur, gugurlah nangka
jangan terkena si ranting pauh
kalau nak tidur, tidurlah mata
jangan terkenang orang yang jauh...

Yaya tidak sedar emaknya masuk membawa sedulang hidangan. Segelas air milo panas, sepinggan nasi putih dan ikan pelata bakar. Menu berkenaan selayaknya untuk orang dalam pantang saja.
"Mak, Yaya tak lapar. Tak ada selera. Tekak Yaya rasa sempit mak."
"Jangan begitulah Yaya. Ya kena makan. Makan sikit pun jadilah. Kalau perut kosong, macam-macam boleh jadi."
"Yaya tak mahu.."
"Mak suapkan.."

Dia lihat emak menggaul nasi dengan sudu dan meletakkan pinggan di atas meja di sisi katil. Rasa belas pula melihat emak berusaha untuk memberi dia makan.
"Tak mengapa mak, Yaya makan..Yaya janji Yaya makan. Tapi biar Yaya baring dulu..sekejap saja Mak. Rasa semput sangat naik tangga tadi..Yaya makan kemudian."
"Emak tak paksa Yaya makan. Jangan berjanji Ya, mak tak paksa. Emak cuma nak Yaya cepat baik, kembali pulih seperti biasa..."

Selepas emak melangkah keluar, dia memandang kosong ke arah nasi berlauk ikan bakar yang sangat enak itu tetapi tekaknya terasa sempit. Ngilu menyucuk-nyucuk dan kepalanya sedikit berpusing, mungkin kerana kesakitan di bahagian perut terlampau kuat, maka sakitnya itu menjalar sehingga ke kepala.

Serba tidak kena dibuatnya. Berlunjur salah, duduk pun tidak semena-mena mencerut rasa sakit pada seluruh badan. Betapa sulit untuk menerima siksaan yang sedikit apatah lagi siksaan di hari akhirat esok. Ini baru sedikit Allah menumpahkan dugaan, hanya seinci saja perutnya ditoreh dan bukan dicincang lumat, tapi sakitnya menjalar ke segenap ruang badan, hati dan perasaan. Bercampur pula dengan rasa aneh yang mula memanah-manah ulu hatinya lantaran merindui seseorang, rindu yang tidak berasas dan tidak pasti!

Yaya, kuatkan tekad. Kau tidak boleh membiarkan perasaan itu menghiris kewarasan. Bukan ke tekadnya dulu nak jadi tukang masak, nak jadi macam emak, ada kedai sendiri. Jadi tauke di kedai sendiri dan paling utama, Anjung Yaya sentiasa makmur dengan pelanggan. Itulah namanya, Anjung Yaya, sebuah kedai makan alias tempat istirehat paling aman di bumi ini. Yaya akan usahakan sampai berjaya dan sebelum berjaya dia mesti berhempas pulas dulu menimba ilmu serta tidak boleh membuang masa.

Dalam leka mengenang perjalanan yang akan dirintis kemudian, tangannya tersadung bantal dan kenangan bertempiaran lari menjauh kerana kesakitan menjemput nyeri pada wajahnya. Aduh, siksanya diri, tangan bengkak dan denyutan makin menekan di kawasan torehan. Sabarlah perasaan. Ini ujian Allah untuk dia, dan dia mesti redha menerimanya..semuanya berbaur menjadi satu sebelum dia mula memejam mata rapat seolah-olah ingin menepis segala kesulitan yang dialami kini.

Jauh di kota Seoul, ada sekujur tubuh yang berbalut kaku di dalam selimut tebal menahan sejuk, menahan dingin salju halus yang mula turun berjerebu andai dilihat menerusi tingkap dan jerebu itu seolah-olah rindu hatinya yang semakin membanjir lapangan rasa, makin lebat dan lebat mencurah-curah seperti air di empangan yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Rindu itu kaangkala seperti sakura mengorak kelopak, wangi dan cantik tapi hanya sekadar indah pada pandangan mata dan hiduan naluri namun tidak boleh dicapai kerana kedudukannya terlalu tinggi! Tragisnya perasaan ini...!

Zain memejam mata rapat dengan harapan dia mampu melelapkan mata sekejap untuk bertembung dengan seseorang di dalam mimpi...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...