Thursday, April 29, 2010
15 Jamadilawal 1431, sudah melepasi Zuhur.,.
Hakikatnya, memang sulit untuk mentafsir hidup kerana kita adalah pengkarya pada sebuah kanvas kehidupan yang sangat rencam warnanya, sangat pelbagai rona kerohanian dan jasmaninya serta payah mengukur dan membaca gerak geri kemanusiaan di pentas yang dipinjam Ilahi ini.
Memang kalau ditanya, semuanya tidak mahu tersilap langkah, tidak akan masuk ke dalam perigi buta dan tidak akan berani memijak onak berduri yang menyakitkan, namun kita adalah insan yang hanya meminta ihsan daripada Pencipta kita yang sentiasa mengetahui gerak hati, panca rasa dan deria kemahuan yang kadangkala mengamarah bagai api membakar tujuh tanjung dan ada ketikanya pula sejuk dan dingin seperti diamnya lautan sunyi yang menyimpan sejuta rahsia yang tidak terungkap di dunia bawah sana di dasar lautan.
Esok, jam 8.30 pagi, 39 tahun lalu, saya dilahirkan di sebuah rumah yang menyaksikan saya membesar dan meniti usia kanak-kanak, tetapi apabila menginjak ke usia remaja dan sehingga saya diijabkabulkan, saya diam di dalam rumah lain. Esok, tanggal 30 April bersamaan 15 Jamadilawal 1431, genap sudah usia saya berdiri dan bernafas pada angka 39 tahun, satu angka yang sudah menghampiri takah selepas 'Zuhur' dan menuju ke waktu 'Asar' saya kira, tetapi saya berasa seperti baru saja lepas menikmati dingin dan hening 'Subuh' bukan kerana saya ingin sentiasa berada di permulaan hari sebaliknya saya menyedari kalau ada hayat saya ingin melalui waktu 'Maghrib' dan 'Isya' dengan tenang dan damai tanpa sebarang kesulitan.
Saya terkenang percikan warna pelangi, awan yang kelabu dan tengahari yang cerah serta petang yang gelap yang saya sudah pernah mengalaminya sejak sekian lama dan saya tidak tahu renjisan warna apa pula yang akan saya simbah pada kanvas hidup yang sangat mahal harganya sehingga kadang kala meluluhkan hati untuk mencorak catan supaya nampak teratur dan kemas.
Selamat hari lahir untuk diri saya sendiri..satu saja yang saya mahukan sejak akhir-akhir ini..supaya saya kelak tidak akan menyusahkan sesiapa sehingga akhir hayat saya...
Sha..selamat hari lahir!
Tuesday, April 27, 2010
Salji mula turun dan hati pun beku...
Sambil merenung ke arah tingkap kaca, Yaya menggosok-gosok kekura tangannya yang masih bengkak dan sakit akibat lama drip dicucuk di situ. Memang bengkak masih kelihatan dan ngilunya tusukan juga seakan terbayang-bayang di mata.
Ah sudahlah ingatan, padamkan segera. Dia tidak mahu lagi mengingat kisah lama. Tiada guna diingat dan digali semula, tetapi kenangan itu juga penting dan tidak boleh dinyahkan kerana ada antaranya amat mengacau minda dan mengetuk perdu ingatan.
"Please makan ya. I made it special for you..makan. Saya buat dengan bersungguh-sungguh untuk bekal pada Yaya.."
"Terima kasih Encik..Zain"
"Zain saja..no encik-encik except u are in my class.."
Perbualan singkat itu terngiang-ngiang hinga kini dan orangnya entah di mana. Hendak dijejak tidak mungkin sama sekali kerana kata Faris, cikgu mereka yang seorang in menghadiri seminar kulinari di negara orang.
Arghh...denyutan di bahagian bawah perut menyentap kenangan Yaya. Kenangan yang sudah terbang dan hilang di tiup angin senja yang sendu dan berpalit rindu menebal.
Ibarat pantun lama yang sarat hantaran kasih...
kalau nak gugur, gugurlah nangka
jangan terkena si ranting pauh
kalau nak tidur, tidurlah mata
jangan terkenang orang yang jauh...
Yaya tidak sedar emaknya masuk membawa sedulang hidangan. Segelas air milo panas, sepinggan nasi putih dan ikan pelata bakar. Menu berkenaan selayaknya untuk orang dalam pantang saja.
"Mak, Yaya tak lapar. Tak ada selera. Tekak Yaya rasa sempit mak."
"Jangan begitulah Yaya. Ya kena makan. Makan sikit pun jadilah. Kalau perut kosong, macam-macam boleh jadi."
"Yaya tak mahu.."
"Mak suapkan.."
Dia lihat emak menggaul nasi dengan sudu dan meletakkan pinggan di atas meja di sisi katil. Rasa belas pula melihat emak berusaha untuk memberi dia makan.
"Tak mengapa mak, Yaya makan..Yaya janji Yaya makan. Tapi biar Yaya baring dulu..sekejap saja Mak. Rasa semput sangat naik tangga tadi..Yaya makan kemudian."
"Emak tak paksa Yaya makan. Jangan berjanji Ya, mak tak paksa. Emak cuma nak Yaya cepat baik, kembali pulih seperti biasa..."
Selepas emak melangkah keluar, dia memandang kosong ke arah nasi berlauk ikan bakar yang sangat enak itu tetapi tekaknya terasa sempit. Ngilu menyucuk-nyucuk dan kepalanya sedikit berpusing, mungkin kerana kesakitan di bahagian perut terlampau kuat, maka sakitnya itu menjalar sehingga ke kepala.
Serba tidak kena dibuatnya. Berlunjur salah, duduk pun tidak semena-mena mencerut rasa sakit pada seluruh badan. Betapa sulit untuk menerima siksaan yang sedikit apatah lagi siksaan di hari akhirat esok. Ini baru sedikit Allah menumpahkan dugaan, hanya seinci saja perutnya ditoreh dan bukan dicincang lumat, tapi sakitnya menjalar ke segenap ruang badan, hati dan perasaan. Bercampur pula dengan rasa aneh yang mula memanah-manah ulu hatinya lantaran merindui seseorang, rindu yang tidak berasas dan tidak pasti!
Yaya, kuatkan tekad. Kau tidak boleh membiarkan perasaan itu menghiris kewarasan. Bukan ke tekadnya dulu nak jadi tukang masak, nak jadi macam emak, ada kedai sendiri. Jadi tauke di kedai sendiri dan paling utama, Anjung Yaya sentiasa makmur dengan pelanggan. Itulah namanya, Anjung Yaya, sebuah kedai makan alias tempat istirehat paling aman di bumi ini. Yaya akan usahakan sampai berjaya dan sebelum berjaya dia mesti berhempas pulas dulu menimba ilmu serta tidak boleh membuang masa.
Dalam leka mengenang perjalanan yang akan dirintis kemudian, tangannya tersadung bantal dan kenangan bertempiaran lari menjauh kerana kesakitan menjemput nyeri pada wajahnya. Aduh, siksanya diri, tangan bengkak dan denyutan makin menekan di kawasan torehan. Sabarlah perasaan. Ini ujian Allah untuk dia, dan dia mesti redha menerimanya..semuanya berbaur menjadi satu sebelum dia mula memejam mata rapat seolah-olah ingin menepis segala kesulitan yang dialami kini.
Jauh di kota Seoul, ada sekujur tubuh yang berbalut kaku di dalam selimut tebal menahan sejuk, menahan dingin salju halus yang mula turun berjerebu andai dilihat menerusi tingkap dan jerebu itu seolah-olah rindu hatinya yang semakin membanjir lapangan rasa, makin lebat dan lebat mencurah-curah seperti air di empangan yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Rindu itu kaangkala seperti sakura mengorak kelopak, wangi dan cantik tapi hanya sekadar indah pada pandangan mata dan hiduan naluri namun tidak boleh dicapai kerana kedudukannya terlalu tinggi! Tragisnya perasaan ini...!
Zain memejam mata rapat dengan harapan dia mampu melelapkan mata sekejap untuk bertembung dengan seseorang di dalam mimpi...
Monday, April 26, 2010
Kenangan...
Yumie gadis campuran, berdarah Korea dan Jepun, dari rumpun yang sama tapi menghabiskan masa remaja di Boston kerana mengikut keluarga berpindah ke sana. Namun naluri Yumie begitu menebal dengan resam Korea. Walaupun penampilan Yumie sangat Bostonian, percikan Korea masih ada pada gadis itu dan Alice pula seperti kebanyakan gadis Korea lain, sangat fashionable dan pemalu.
Begitupun wajah Yumie yang cantik dan raut Alice yang lembut tidak dapat mengubat rindu dan walang di hatinya terhadap Kuala Lumpur. Dan saat itu dia merasakan Kuala Lumpur juga menunggu kepulangannya lebih-lebih lagi sekeping hati yang ditinggalkan terlantara di wad hospital. Sekeping hati yang ditinggalkan bersama satu termos teh dan sebekas sandwich tuna serta roti planta. Ntah dimakan ntah tidak menu ringkas tetapi disediakan dengan penuh rindu dendam itu. Hakikatnya, ada cinta sendu dalam setiap kepingan roti yang disediakan, ada curahan sayang dalam setiap bancuhan teh yang dibuat.
Zain menyandarkan belakang ke sofa empuk itu. Menerawang lagi..lagi dan lagi. Menerawang jauh ke bilik berbau ubat dengan kipas berputar malas. Petang ketika dia tiba, nurse baru saja menukar kantung air di katil itu. Sekujur badan tidur lena tapi ada kerut nyeri sesekali terkesan pada wajah itu. Kerusi berwarna hitam ditarik perlahan, amat perlahan supaya tiada sebarang bunyi yang boleh mengejutkan badan yang lena itu.
Perlahan-lahan Zain duduk di birai katil dan membetulkan selimut putih. Ditarik lagi hingga menutupi sebelah lengan bogel tanpa ada kain yang menutup. Tentunya sejuk kerana dia nampak kuku di bahagian hujung jari kebiru-biruan.
Direnungnya wajah itu. Memang lena tetapi kesan kesakitan nyata berbekas kerana anak matanya seakan tidak lena lantaran kerap bergerak seakan menerawang juga walaupun jasad nampak nyenyak.
Rambut hitam sekana coklat pekat itu berjurai pada bahagian dahi. Tuan empunya diri kaku saja sedang kantung air dan darah menitik malas dari tiang pergantungan. Memang titisannya amat lambat seakan malu untuk menyatukan diri dengan sekujud jasad itu.
Kau sudah kehilangan banyak darah, berehatlah dengan aman. Kembalikan kekuatannya yang sudah hilang bersama banyak darah yang tumpah dua tiga hari ini. Dilihat lagi, ada desus halus dari hidung jasad yang kelihatan lena dalam pembaringan yang nyaman.
Beg yang berisi sandwich tuna dan roti planta sudah diletakkan di tepi almari. Zain ingin bercakap dengan doktor, ingin bertanya kenapa berlaku kes sebegitu kepada penuntutnya itu. Rasa belas membuak-buak untuk mengetahui apa yang dialami Yaya. Meskipun tiada sebarang pertalian darah, darahnya sudah mengalir dalam badan Yaya. Kes kecemasan tergesa-gesa begitu menyebabkan dia menyuakan diri kepada doktor untuk memberikan sedikit darahnya untuk dimasukkan ke dalam badan Yaya.
Zain ingat lagi, doktor memberitahu Yaya mempunyai ketidakseimbangan hormon, ada PCOS dan endometriosis pada bahagian rahim dan pendarahan berlaku dengan teruk kerana ada salur darah bocor. Justeru, Yaya mengalami pendarahan seperti haid tetapi sebenarnya apa yang keluar itu adalah bersih.
Kesiannya Yaya, membazir darah! Dan dia sebenarnya tidaklah begitu mengetahui mengenai apa yang Yaya hidapi tapi dia sudah berjanji dengan dirinya untuk membuat carian di laman web bagi memahamkan diri dengan situasi Yaya.
Sejurus perbualan dengan doktor selesai, dia nampak Yaya mula bergerak dan dalam kepayahan itu Yaya bangun untuk ke bilik air. Alangkah hibanya hati meluhat gadis itu bergerak perlahan untuk bangun dengan drip bercacak di bahagian atas tangan. Ingin dipangku dan dipapah, tetapi tidak mungkin tuan empunya badan membenarlan dirinya disentuh apatah lagi dipangku atau didukung...
"Zain! Zain! Morning.."
"Hi Yumie...o sorry dear..day reaming!"
"Something or someone that u really miss?" Ada senyum nakal di hujung bibir nipis Yumie..
"Nope..im just thinking about Kuala Lumpur..."
"Owh..two days to go and u can go back to your hometown. Come, have some breakfast and we will have a long journey after this. Alice, Ben and David waiting for us. I'll prepare a bibimbab for you today."
Jauh di dalam hati. Zain berkata...aku merindui sekujur dan seraut wajah itu. Wajah mulus yang tulus dan hati batu yang sentiasa menyatu dalam diri ini...andainya kau tahu...
Angis sejuk musim dingin di Seoul bertiup nyaman menyapa hati Zain yang mula hangat walaupun dingin melata-lata di kota itu..
Sunday, April 25, 2010
Ahad..
Note: Saya sudah pernah membuat entry 'Ahad' ini tahun lalu...dan hari ini saya melakukannya sekali lagi kerana saya berasakan Ahad yang ini sama seperti Ahad yang saya alami tahun lalu..saling tidak tumpah...
Ahad yang kelinglongan...sampaikan saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan...Ahad yang sunyi, sehingga saya berasa pekak dan tuli untuk membilang detik yang berdetak. Ahad yang bosan, kadang-kala saya berasakan alangkah baiknya kalau tiada Ahad. Ahad yang panas, saya berasa seperti api membakar dan semarak di tujuh tanjung...Ahad yang tiada apa, saya mohon supaya saya tidak wujud pada Ahad...Ahad yang mati, saya berasa ingin ghaib!!!
Adalah tidak adil untuk saya mencincang Ahad, juga tidak adil menghukum hidup saya begitu rupa, tetapi apa lagi yang saya boleh lakukan...selain berasa ingin terbang di balik awan biru, di balik angin telus dan di balik mendung kelabu...
Ahad yang memilukan, seperti meratap kematian sang sahabat yang tiada galang gantinya, Ahad yang hiba seakan menangisi sekujur jasad yang sangat disayangi dan Ahad yang beku, seolah-olah hati ini kering tiada bernafsu.
Paling saya takuti, adakah lagi Ahad untuk saya...
Petang yang sunyi
Mak, Yaya bosan di sini. Doktor kata esok Yaya boleh keluar hospital. Bosan Mak, Yaya dah lama tak baca buku. Apa cerita di kelas Yaya. Apa yang mereka belajar, Yaya sudah banyak ketinggalan. Habislah Yaya nak jadi student terbaik. Memang punah apa yang Yaya rencanakan selama ini.
Jauh di dalam hati, Yaya terkenang sandwich tuna dan tea yang dibawa seseorang ketika dia terlantar dulu. Walaupun sandwich tuna itu dia tahu membuatnya sendiri, tapi sandwich tuna yang dimakan petang itu amat enak dan sedap, terasa kenyang berhari-hari lamanya apabila mengingatkan sandwich tuna yang tersusun kemas di dalam bekas berwarna biru..dan secawan teh yang ada segala di dalamnya...ada rindu, ada ikhlas, ada kesian dan ada rasa yang tak terungkap.
Dan dia telah meminum teh itu dengan perlahan-lahan seolah-olah teh yang secawan itu mampu mengubati luka berzaman...alangkah...di manakah dia yang membawakan sandwich tuna dan teh itu..ada rasa aneh menyelinap dalam diri...
Sejuk di Seoul...
Dari tingkat 21 bilik bernombor 34 di Apartment Oakwood yang terletak di tengah-tengah kota raya Seoul yang dingin, ada sekeping hati yang lebih dingin daripada suhu 14 darjah celsius yang melanda kota raya berkenaan.
Hati itu sudah lama beku dan dingin sejak meninggalkan Kuala Lumpur dua minggu yang lalu. Hatinya beku kerana dia merindui sekeping hati lain yang tidak memahami betapa dia dalam diam menanam sepohon tunas rindu kepada segala-galanya milik seorang Yaya yang sentiasa ingin didampinginya.
Dia ingat masinnya gulai Yaya, dia ingat manisnya kopi Yaya dan paling dia ingat wajah Yaya pucat bak mayat ketika dia mengangkat batang tubuh itu ke keretanya beberapa minggu lalu. Tiada nafas yang melalui kerongkong gadis itu, hanya sekujur tubuh yang seolah-olah urat nyawanya sudah dicabut dari jasad.
fragmen2
"Ingat..dan aku tahu. Kerana aku pun manusia, ada darah yang mengalir dalam badan, ada nyawa yang sentiasa mengetahui jasad itu adalah pelindungnya buat seketika."
Mungkin yang nyata, dia perlu beredar dari perkuburan sunyi yang tiada nisan penanda, apatah lagi noktah akhir yang boleh dia jadikan garis harga sebuah maruah.
"Mungkin kau masih berdiri berseorangan di sebuah tapak pembunuhan sepi yang mana angin pun tidak sudi untuk singgah dan menyapamu. Mungkin jika ini pengakhirannya, kau perlu berlalu, aku rasa. Peredaran itu mungkin lebih mendamaikan..."
"Aku berasa sedu sedan hati yang berkeluh kesah ini tidak sampai padanya. Memang derita menelan duri ingatan yang tidak surut-surut ini. Ingatanku ini bersifat naif, dari kepingan perasaan yang benar-benar tersepit, menjerit, membesit dan bingit dalam sunyi yang total..sunyi yang membunuh Inas," katanya pada Inas yang diam di hujung telefon. Dia dengar Inas melepaskan keluh perlahan.
Inas adalah manusia yang paling layak untuk merakam sebuah lukisan hidup yang mula dicatan di galeri sunyi di daerah misteri kepunyaannya. Dan dia juga akan merakam seorang Remy untuk Inas potretkan sebagai karya yang wajar dihargai.